Jumat, 15 Juli 2011

**~** Jangan..Takut.. **~**


JANGAN bertangguh untuk bertaubat. Manusia dianugerahkan keistimewaan berbeza berbanding makhluk lain di alam ini.

Manusia dilengkapi kesempurnaan fizikal, kemampuan berfikir serta pelbagai nikmat dan kemudahan di dunia ini.

Itulah yang dapat menjadikan manusia sentiasa terbatas untuk melakukan perkara di luar batasan insani. Kebolehan berfikir membezakan manusia daripada haiwan dan makhluk lain. Dengan kesempurnaan itu, sepatutnya kita sentiasa mendorong diri untuk memberikan hasil terbaik yang dapat dimanfaatkan buat diri kita di dunia dan akhirat. Hidup ini mempunyai peraturan, ada undang-undang tertentu. Jika semua ikut peraturan pasti kita akan selamat. Kehidupan ini juga bukan milik kekal kita. Ia adalah pinjaman sementara dan apabila sampai masa nanti kita semua akan 'berangkat' ke perkampungan akhirat yang kekal abadi.

Terdapat beberapa frasa penting bagi mendisiplinkan diri kita dalam hidup ini. Pertama, kita mesti buat apa yang mesti dibuat. Asas perkara yang mesti dibuat adalah bersumberkan agama yang diturunkan dari langit iaitu Islam. Cuba kita baca semula sejarah bagaimana orang Arab Jahiliah yang sebelum itu berpaksikan undang-undang rimba sehingga peraturan bertukar dan berubah begitu drastik apabila semuanya berpegang kepada syariat. Perkara wajib mesti buat, yang sunat patut buat, yang makruh patut tidak buat, yang harus terserah manakala yang haram pula jangan buat. Jika pakai ikut rasa saja pasti binasa, ikut hati mati, demikian pesan orang tua-tua. Dadah itu haram dan apabila haram mesti tidak buat. Perkara kedua untuk menjadi disiplin ialah buat sesuatu pada masa yang patut dibuat. Iaitu berbuat sesuatu pada masanya. Tidak bertangguh, tidak berlengah, tiada istilah nanti dulu, lain kali, biar dulu, orang lainlah.

Jika hendak bertaubat kita tidak boleh bertangguh. Tawaran dan peluang jangan ditolak. Ada yang kata remaja hanya sekali dan perlu gunakan kesempatan itu dengan berseronok sepuas-puasnya. Kata orang tua-tua, ambilah kesempatan walaupun dalam kesempitan, cuma jangan kesemputan. Jika masuk waktu solat, jangan ditangguh-tangguh lagi. Ketika belajar di pusat pengajian jangan main-main kelak menyesal, kerana peluang kadang-kadang hanya datang sekali. Ada yang berasa hendak melakukan kebaikan, jangan tangguh lagi bimbang lain kali rasa hendak buat baik itu tidak datang lagi.

Orang cemerlang tidak akan berhenti manakala orang berhenti tidak akan cemerlang. Perkara ketiga ialah disiplin hanya dicapai melalui kualiti dalam melakukan sesuatu atau ia dibuat sehabis baik. Ketika bekerja dan bekerjaya mesti lakukan dengan betul-betul. Kena lakukan bersungguh-sungguh, barulah boleh mendapat cemerlang. Sudah pasti, hendak menggapai kecemerlangan tidak ada jalan pintas. Hendak kaya ada jalannya. Jika hendak kaya guna jalan pintas maka berlakulah rasuah, khianat, pecah amanah, sorok barang, dusta, tipu dan sebagainya.


إِنَّ ٱلَّذِينَ فَتَنُواْ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ وَٱلۡمُؤۡمِنَـٰتِ ثُمَّ لَمۡ يَتُوبُواْ فَلَهُمۡ عَذَابُ جَهَنَّمَ وَلَهُمۡ عَذَابُ ٱلۡحَرِيقِ

Sesungguhnya orang-orang yang menimpakan bencana untuk memesongkan orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman, kemudian mereka tidak bertaubat, maka mereka akan beroleh azab Neraka Jahanam (kerana perbuatan buruk itu) dan mereka akan beroleh lagi azab api yang kuat membakar (kerana mereka tidak bertaubat).


(Surah Al-Buruj 85 : Ayat 10)

iLuvislam

Tidak ada komentar:

Posting Komentar